Wednesday, March 19, 2008

Terengganu History

Negeri Terengganu Darul Iman adalah salah sebuah negeri dalam Malaysia. Terengganu terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia terletak di antara garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50. Di bahagian utara dan barat lautnya bersempadan dengan Kelantan manakala di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang. Keluasan negeri Terengganu ialah 12,955 km2.

Sejarah Terengganu yang awal adalah tidak jelas. Namun begitu terdapat catatan mengenai Terengganu oleh saudagar Cina, Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang menyebut sebagai jajahan takluk Palembang.

"Negarakartagama", tulisan Prapanca dari Jawa pada tahun 1365, menyatakan bahawa Terengganu, Paka dan Dungun di bawah taklukan Majapahit. Berdasarkan bukti arkeologikapak batu dan tembikar yang dijumpai di Gunung Bewah, terdapat manusia tinggal di situ sejak 4000 SM. Pada Batu Bersurat Terengganu terdapat pula catatan nama Raja Mandalika. Seterusnya dalam sejarah Terengganu, terdapat pemerintahan bernama Megat Panji Alam dan juga Tun Telanai.

Terengganu kemudiannya disebut sebagai negeri di bawah pemerintahan kerajaan Johor. Pada ketika itu, dua orang pembesar Johor, Laksamana dan Paduka Megat Seri Rama, dihantar memerintah Terengganu. Seterusnya, Bendahara Hasan pula dihantar mentadbir Terengganu. Berikutnya, Terengganu ditadbir oleh Tun Zain Indera, kemudiannya, oleh anak Tun Zain Indera, Tun Yuan, Tun Sulaiman dan Tun Ismail; Tun Sulaiman sebagai sultan di Pantai Layang ( Balik Bukit ), Tun Yuan sebagai Bendahara dan Tun Ismail sebagai Menteri Tersat.

Pengasas Kesultanan Terengganu sekarang ialah Sultan Zainal Abidin I. Baginda yang juga dikenali dengan panggilan "Bendahara Padang Saujana" ialah putera Tun Habib Abdul Majid. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis, karangan Raja Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain pula dinyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang, Raja Pattani.

Mengikut hikayat Johor serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Pattani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar 1688. Ketika berada di Pattani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Pattani, Phra Nang Chau Yang.

Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708. Ini berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin dan tahun 1120 hijrah (bersamaan tahun 1708). Sultan Zainal Abidin I tidak lama bersemanyam di Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, ke Langgar dan ke Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang (kini dipanggil Kota Lama).

[resource:http://ms.wikipedia.org/wiki/Terengganu].

0 comments: